PAR tubuh pasukan khas tangani kes buli, gangsterisme

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas Antibuli (ABTF) dalam usaha menangani kes buli dan displin di sekolah khususnya dalam kalangan pelajar kaum India.

Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia Datuk A. Chandrakumanan berkata selain anggota PAR, pasukan itu juga akan dianggotai pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“ABTF ditubuhkan menerusi program ‘Say No’ Gejala Displin/Buli di Sekolah dan Kalangan Pelajar yang dijadual dilancarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Latihan Polis di sini pada 10 Ogos nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata ABTF ditubuhkan bagi membimbing dan memberi kaunseling kepada murid serta memfokuskan kepada aspek pembangunan sahsiah dan peningkatan disiplin serta mengurangkan penglibatan belia dan kanak-kanak dalam jenayah.

Menurutnya PAR juga menerima 1,876 aduan kes buli dan gangsterisme di sekolah seluruh negara sejak awal  2016 sehingga Februari tahun ini.

“Untuk peringkat awal ini, kami menyasarkan pelajar kaum India di sekolah-sekolah sekitar Wilayah Persekutuan, dan akan memperluaskannya jika menerima permintaan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan berkaitan buli dan gansterisme di laman web PAR iaitu  www.par.org.my, katanya sambil mengakui bahawa banyak sekolah tidak melaporkan kejadian buli dan gangsterisme.

Source: TMT

Leave a Comment

Close